"Jika memandu kita perlukan lesen, menggunakan senjata api perlukan lesen, maka hidup di dunia juga tentulah perlukan lesen.
Lesen itu ialah ISLAM. Hidup di dunia dengan menolak Islam ialah umpama hidup tanpa lesen."

Monday 23 March 2015

Mungkin dia lebih baik dari kita



Siapa aku? Siapa kamu? Siapa dia?
Terlalu banyak pengalaman yang ku lalui di tempat orang. Dari setiap orang yang berbeza agama, berbeza darjat, berbeza kehidupan, berbeza penampilan. Tak dapat nak di listkan kesemuanya. 

"Hmm, taknak lah laki ni. Cara cakap macam tak ok je untuk aku."
"Yekk, gelinya tengok tu pakaian dia. Ni mesti tak ada mak ayah jaga ni. Ni mesti dok tepi jalan ni."
"Perempuan ni muka dah lawa, tapi...."
"Anak siapa lah ni. Memalukan keluarga betul."
"Ya ampun, berbau! Ni belum tengok umah dia lagi. Entah-entah lagi teruk."
"Ish ish kenapalah budak ni macam ni. Mesti perangai dia teruk."
"Kayanya orang sebelah ni bang. Apa dia buat dengan duit banyak-banyak tu ye. Tengok kereta sampai empat biji."

ASTAGHFIRULLAH...

Kita suka menghukum orang pada pandangan pertama. Hanya melihat luarannya kita mengulas itu dan ini. Mungkin betul sangkaan kita. tapi kalau salah??? Dosa percuma je dapat!
Allah mengingatkan kita: "Wahai orang beriman, jauhilah daripada banyak bersangka-sangka. Sesungguhnya ada antara sangkaan itu dosa." (Al-Hujurat:12)

Rasulullah S.A.W. kemudian menegaskan: "Jaga-jaga kamu daripada persangkaan. Sesungguhnya bersangka-sangka itu kata-kata yang paling dusta!" (Riwayat Al-Bukhari)

Begitu juga Saidina Umar turut mengingatkan: "Jangan kamu terus membuat sangkaan berdasarkan hanya satu ucapan yang keluar daripada saudaramu yang Muslim, melainkan yang baik-baik." (Riwayat Ahmad)

Menjadi orang baik, tidak cuai solat dan puasa, lain pula strategi syaitan membodohkan kita. Perangkap ujub, takbur, riak dan sum'ah mungkin lebih berkesan. Lalu sifat-sifat buruk itu semakin membesar dalam diri seiring amalan yang bertambah.

Maka senjata yang kuat untuk menangkisnya ialah KUKUHKAN SIFAT TAWADUK. Tawaduk itu kita menganggap semua orang yang kita adalah lebih baik daripada kita.


Apabila melihat ORANG LEBIH TUA
Fikirkan, mungkin bakti dan pahalanya lebih banyak daripada kita. "Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang panjang umurnya lagi baik amalannya." (Riwayat At-Tarmizi)


Apabila melihat ORANG LEBIH MUDA
Fikirkan, mungkin maksiat dan dosanya lebih sedikit daripada kita.


Apabila melihat KANAK-KANAK
Fikirkan, mereka masih suci daripada dosa dan maksiat. Rasulullah suka menyapa dan bergurau dengan kanak-kanak.


Apabila melihat ORANG LEBIH MISKIN
Fikirkan, mereka lebih berpeluang besar ke Syurga. "Aku berdiri di pintu Syurga lalu aku dapati kebanyakan yang memasukinya ialah orang miskin." (Riwayat Muslim)


Apabila melihat ORANG LEBIH KAYA
Fikirkan, mungkin mereka lebih banyak membela agama dan membantu manusia daripada kita. "Tidak boleh dengki melainkan dua orang, orang yang dikurniakan Allah harta lalu dia habiskan demi kebenaran." (Riwayat Al-Bukhari)


Apabila melihat IBU TUNGGAL
Fikirkan, mereka lebih dekat dengan Rasulullah berbanding kita, "Aku dan penanggung anak yatim seperti ini. (Nabi mengisyaratkan dua jari Baginda)." (Riwayat Al-Bukhari)


Apabila melihat ORANG JAHAT
Fikirkan, mungkin ada suatu amal baiknya yang menyebabkan Allah redha lalu mengampuninya. "Diampunkan dosa seorang pelacur yang mendapati seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga dengan lidahnya  terjelir. Kehausan hampir membunuhnya. Maka pelacur itupun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia mencedok air untuk air tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu." (Riwayat Al-Bukhari)


Apabila melihat ORANG KAFIR
Fikirkan, mungkin suatu masa nanti menjadi Muslim lalu lebih baik islamnya daripada kita.

Sesiapa sahaja yang kita bersua baik orang bodoh, orang terkenal, pengutip sampah, orang kelainan upaya pendatang asing dan sebagainya, fikirkan "mungkin mereka lebih baik daripada kita".

Moga bermafaat buat semua ('',)
Wallahua'lam
Muhammad Luqman Makhtar|Editor|Solusi Isu 71

No comments:

Post a Comment